Mengubah Ayat Aktif menjadi Ayat Pasif Siri 1

Sering kali, pelajar melakukan kesilapan apabila menukar ayat aktif transitif kepada ayat pasif apabila melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua.

Antara ganti nama diri pertama ialah saya, hamba, aku, kami dan kita manakala ganti nama diri kedua ialah awak, engkau, kamu, anda, dan tuan.

Dalam ayat pasif melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua, perlu diingat bahawa:
1. Tidak boleh menggunakan kata “oleh”,
2. Kata bantu seperti akan, sedang dsb. mesti hadir sebelum ganti nama diri.
3. Ganti nama diri : contohnya, saya, anda mesti diikuti oleh kata kerja : contohnya, tulis, baca , sepak.
4. Kata kerja mestilah menjadi kata dasar seperti tulis bukannya menulis, baca bukannya membaca.

Contoh 1
Ayat Aktif Transitif : Saya akan menulis rencana tentang isu vandalisme.
Ayat Pasif : Rencana tentang isu vandalisme akan saya tulis.

Contoh 2
Ayat Aktif Transitif : Anda telah menutup botol itu.
Ayat Pasif : Botol itu telah anda tutup.

Cuba anda tukarkan ayat aktif transitif di bawah dan seterusnya betulkan contoh-contoh ayat pasif yang diberikan.

Sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan, awak telah memanggil Amran ke dalam kelas.

Amran telah dipanggil oleh awak ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana oleh diikuti oleh ganti nama diri pertama atau kedua).

Amran, awak telah panggil ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana ganti nama diri pertama/kedua mestilah diikuti oleh kata kerja).

Yang betul ialah :
Amran telah awak panggil
ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.

Contoh Karangan : Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

Memahami Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Ragam ayat dalam Bahasa Melayu, ialah ragam ayat aktif dan ragam ayat pasif. Dua perkara yang membezakan ayat aktif daripada ayat pasif ialah kedudukan subjek dalam ayat dan kata kerja yang digunakan.

Dalam ayat aktif, subjek menjadi judul ayat itu dan kata kerja yang digunakan ialah kata kerja aktif transitif yang berimbuhan meN-….  

Contoh ayat aktif:
a) Anak anjing Felix mengejar kucing jantan Maria.

 Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek (objek dijadikan judul) dan kata kerja pasif yang berimbuhan di-…, teR- … beR-…, ke-…-an atau mempunyai kata kena sebelum kata kerja. Kata kerja pasif (kata kerja dasar) tidak menerima sebarang imbuhan bagi kata pasif diri pertama dan diri kedua. 
Contoh ayat pasif:
a) Kucing jantan Maria dikejar oleh anak anjing Felix.
b) Anak anjing Marsha dikejar oleh kucing jantan Mawi.
c) Anak anjing Cheong terkejar oleh saya tadi.
d) Kucing jantan Ina terkejar adik saya.
e) Baju sekolah saya sudah berbasuh.
f) Baju itu belum bergosok.
g) Kami kehujanan semasa menjalani latihan bola sepak semalam.
h) Anak kucing jiran saya kelaparan kerana jiran saya sudah tiga hari pergi melancong.
i) Perompak yang merompak kedai emas itu sudah kena tangkap.
j) Beberapa ekor kera liar yang memasuki rumah saya sudah kena tembak.  KATA KERJA TRANSITIF TANPA IMBUHAN
Biasanya, semua kata kerja transitif aktif menerima awalan meN-… kecuali kata makan dan minum.
Contoh ayat daripada kata makan dan minum:
a) Pada ketika itu, kami sedang makan sate di sebuah gerai di Kajang.
b) Kanak-kanak itu sudah minum air mineral yang diberikan kepada mereka. KATA KERJA BERAWALAN MEN-… TANPA OBJEK (KATA KERJA TAK TRANSITIF) 

Kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif transitif yang mengutamakan subjek ayat sebagai judul. Objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif terdiri daripada kata nama, frasa nama, atau klausa komplemen.

Namun begitu, terdapat juga ayat transitif aktif yang tidak mempunyai objek kerana objek kata kerja transitif aktif dalam ayat itu digugurkan. Kekeliruan yang dihadapi oleh pengguna bahasa Melayu adalah untuk membezakan kata kerja transitif aktif daripada kata kerja tak transitif yang berawalan meN-….

Hal ini mudah difahami kerana ayat mempunyai kata kerja transitif aktif dapat dipasifkan, tetapi ayat yang mempunyai kata kerja tak transitif tidak dapat dipasifkan.  
Contoh kata kerja tak transitif yang berawalan meN-… dalam ayat: 
a) Syarini akan menjadi seorang pegawai tentera apabila ditauliahkan kelak.
b) Budak-budak itu berlari sambil menyanyi di padang sekolah.
c) Padi di sawah nenek sudah menguning.  Walaupun dikatakan semua kata kerja transitif aktif mesti menerima objek, terdapat banyak juga kata kerja transitif aktif yang tidak diikuti oleh objek kerana objek kata kerja transitif aktif itu digugurkan (berlaku proses pengguguran objek dalam ayat). Namun begitu, ayat berkenaan masih juga gramatis. Contoh ayat transitif aktif yang objeknya boleh digugurkan:
a) Bapa saya sedang mengarang di dalam biliknya. (objek yang digugurkan: buku, cerpen, novel, sajak, dan sebagainya)
b) Emak memasak di dapur. (objek yang digugurkan: gulai, dalca, nasi, dan sebagainya)
c) Adik sedang melukis. (objek yang digugurkan: gambar kucing, gambarajah, graf, dan sebagainya)
d) Saya telah memancing. (objek yang digugurkan: ikan di dalam kolam itu)
e) Mereka sudah makan pagi tadi. (objek yang digugurkan: nasi lemak, roti canai, dan sebagainya) Ayat aktif transitif di atas tidak dapat dipasifkan sekiranya objek selepas kata kerja transitif aktif tidak dinyatakan.
Hal ini demikian kerana dalam proses pemasifan ayat, objek dalam ayat aktif transitif perlu dijadikan subjek dalam ayat pasif. Oleh itu, sekiranya ayat-ayat di atas hendak dipasifkan, maka objek dalam ayat itu perlu dinyatakan dan tidak boleh digugurkan. 
Contoh ayat pasif daripada ayat aktif transitif di atas:
a) Buku (cerpen, novel, sajak, dan sebagainya) sedang dikarang oleh bapa saya di dalam biliknya.
b) Gulai (dalca, nasi, dan sebagainya) dimasak oleh emak di dapur.
c) Gambar kucing (gambar rajah, graf, dan sebagainya) sedang dilukis oleh adik.
d) Ikan di dalam kolam itu telah saya pancing.
e) Nasi lemak (roti canai, pisang, dan sebagainya) sudah dimakan oleh mereka pada pagi tadi.
Selain itu, terdapat kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif yang menerima awalan teR-…. Banyak pengguna bahasa Melayu kurang sedar bahawa terdapat sebilangan kata kerja yang menerima awalan teR-… terdiri daripada kata kerja transitif aktif kerana kata kerja itu mesti diikuti oleh objek dan kata kerja transitif aktif yang mengekalkan awalan teR-… apabila dipasifkan. Contoh ayat aktif transitif dengan kata kerja transitif aktif yang berawalan teR-.. :
a) Saya tersepak batu tajam itu ketika berlari di padang.
b) Dalam pertandingan itu, Badang terangkat balak yang berat.
c) Anak kecil saya termakan masakan yang pedas.
d) Adakah kamu terbaca buku yang tebal itu?
e) Ibu terhidang lauk yang basi kepada tetamu. Semua ayat di atas dapat dipasifkan apabila kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan teR-… itu dijadikan judul dalam ayat pasif. Walaupun bentuk kata
kerja transitif aktif itu tidak berubah dan dikekalkan, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan dalam ayat pasif dengan kata kerja transitif pasif berawalan teR-…. termasuk ayat pasif diri pertama dan ayat pasif diri kedua.Ayat pasif dengan kata kerja transitif pasif berawalan teR-… daripada bentuk ayat aktif transitif di atas ialah: 
a) Batu tajam itu tersepak oleh saya ketika berlari di padang.
b) Dalam pertandingan itu, balak yang berat terangkat oleh Badang.
c) Masakan yang pedas termakan oleh anak kecil saya.
d) Adakah buku yang tebal itu terbaca oleh kamu?
e) Lauk yang basi terhidang oleh ibu kepada tetamu. 
Selain itu, terdapat sebilangan kata kerja transitif aktif yang menerima apitan meN-…-kan dan meN-…-i mempunyai dua objek, iaitu objek tepat dan objek sipi.  Contoh ayat aktif transitif dengan dua objek:
a) Ketika di Madinah, saya membelikan Syarini sebentuk cincin.
b) Ibu sedang membacakan adik syair Burung Pingai.
c) Syamsyul mengirimi ibunya wang pada setiap bulan.
d) Hakim telah menjatuhi pengedar dadah itu hukuman gantung. Sekiranya ayat-ayat aktif transitif dengan dua objek di atas hendak dipasifkan, maka objek tepat hendaklah dijadikan subjek dalam ayat pasif. Hal ini dapat dilihat dalam ayat-ayat di bawah: 
a) Ketika di Madinah, Syarini saya belikan sebentuk cincin.
b) Adik sedang dibacakan syair Burung Pingai oleh ibu.
c) Ibunya dikirimi wang oleh Syamsyul pada setiap bulan.
d) Pengedar dadah itu telah dijatuhi hukuman gantung oleh hakim.

Contoh Menulis Idea Karangan – Langkah Mengawal Kedatangan Pendatang Asing

          Salah satu langkah utama menangani kedatangan pendatang asing ialah mengehadkan pergantungan kepada buruh asing. Bilangan mereka yang semakin besar kini menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan. Melalui kaedah baru pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan, kita berharap selepas ini pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini. Kita bukannya tidak mengenang jasa dan sumbangan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan serta beberapa sektor perkhidmatan yang lain. Sebaliknya, mereka juga harus memahami bahawa inilah strategi yang terpaksa dilaksanakan supaya selari dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dan mengawal kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah,  mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan. Malah melalui dasar kerajaan yang kini tidak membenarkan lagi anak-anak pekerja asing bersekolah di sekolah kerajaan mungkin dapat menyedarkan pendatang asing bahawa masa sudah tamat bagi mereka menikmati kemudahan yang sepatutnya untuk warganegara ini sahaja. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Tanggungjawab mereka adalah untuk mengingatkan para pekerja asing di bawah jagaan mereka tentang sistem budaya bermasyarakat dan mematuhi undang-undang negara ini kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Tips Menulis Gred A – Ungkapan Menarik

Kenapakah saya memaparkan perenggan-perenggan di bawah ? Sebabnya, salah satu kaedah penting bagi membaiki kualiti karangan ialah membaca esei yang baik,  dan seterusnya, mengutip ilmu penulisan iaitu kaedah penulis berbahasa dan mengolah ayat. Lihat dan tiru kaedah yang digunakan serta berlatih mengaplikasikannya.

Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.

KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.  

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an. 

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat. 

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti. 

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.  

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

 APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

Contoh Huraian Idea Karangan : Isu Popular – Dilema Ibu Bapa

        Satu dilema yang dihadapi oleh ibu bapa di Malaysia pada hari ini ialah  bagaimana cara untuk mengimbangi masa bekerja dengan masa untuk mendidik anak yang menjadi semakin sukar apabila majikan mereka menuntut supaya  mereka balik lambat untuk menghabiskan kerja. Apatah lagi, sebahagian kecil ibu bapa pula kurang pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak dan ini memerlukan penyelesaian. Kenyataannya ialah ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan tidak mempunyai masa untuk anak menyebabkan ribuan kanak-kanak di bandar ditinggalkan bersama pembantu rumah rakyat asing, pengasuh bayi dan sebahagian kecil dengan saudara mara. Mereka terdedah kepada pengaruh dan pemikiran penjaga mereka ini. Kanak-kanak yang pulang dari sekolah mendapati diri mereka di dalam rumah kosong kerana kedua-dua ibu bapa bekerja. Tiada siapapun di rumah untuk memberikan kasih sayang, membimbing dan menerapkan nilai kekeluargaan yang murni. Mereka sebaliknya mendapatkan tunjuk ajar dan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Dengan pengaruh yang tidak baik daripada rakan sebaya, wujudlah suasana yang akan membawa mereka kepada pelbagai penyakit dan masalah sosial. Kanak-kanak yang membesar di dalam suasana seperti itu akhirnya akan menjadi mangsa pelbagai masalah sosial seperti keganasan di sekolah, menagih dadah malah terbabit dengan jenayah.  Ibu bapa mesti bersedia meluangkan masa untuk bersama anak mereka. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang ibu bapa dan tanpanya kehidupan mereka akan musnah kerana mereka tidak memahami atau menghargai kasih sayang dan nilai kekeluargaan dalam kehidupan mereka kemudian nanti. Ibu bapa mestilah lebih peka terhadap kualiti ikatan kekeluargaan dan sentiasa mengambil langkah untuk menerapkan nilai asas moral kepada anak mereka yang diperlukan untuk membangunkan asas yang kuat kepada satu masyarakat yang stabil dan kukuh.   Jelasnya,  satu program perlu dijalankan bagi meningkatkan nilai moral dan  mengukuhkannya secara berterusan untuk menyedarkan anak akan tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara.  

Contoh Ucapan YDP PIBG

Yang berusaha pengacara majlis,
Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, merangkap Ahli Parlimen Tampin;
Yang Berhormat Dato’ Ir. Jamlus bin Hj. Aziz,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Sembilan
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas,
Yang Berusaha Puan Rohanah bt. Baharom,
Pegawai Pelajaran Daerah Tampin Rembau;
Yang Berusaha Encik Anirwan bin Fauzee, Penolong Pegawai Daerah Tampin mewakili Pegawai Daerah Tampin,
Yang Berusaha Encik Sabudin bin Hj. Sani, Pengetua SMK Jelai (F);
Y
ang Berusaha Tuan Penghulu Mukim, Pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah,  Pengurus-Pengurus Gugusan Felda Jelai, Ketua-ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan persatuan belia, AJK PIBG, guru-guru, ibu bapa dan tuan puan yang dihormati sekalian. 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. 
Saya melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah kerana kita dapat bersama-sama dalam majlis penutupan Kejohanan Olahraga SMK Jelai (F) kali ke-17 pada hari ini yang berlangsung dengan meriah. Saya amat mengalu-alukan Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini. Di sebalik kesibukan tugas, YB. Dato’dapat juga mencuri masa untuk hadir. Kami rasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan dan prihatin YB Dato’ terhadap kami. 

            Bagi pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran YB. Dato’, akan dapat menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan masyarakat Gugusan Jelai untuk melibatkan diri dengan aktif dalam program pendidikan. Kita sedar bahawa dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke masa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Saya teringat impian Perdana Menteri kita, YAB. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi yang mengharapkan kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama di sebalik kemudahan kelas pertama. Apatah lagi, tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah. Anak-anak kita pula hidup dalam zaman yang semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah.  

            Ini bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan ke kolej atau universiti. Dengan adanya dasar baru kerajaan, anak-anak di Jelai ini boleh merebut peluang. Hal ini kerana markah sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek kokurikulum. Anak-anak yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan kelebihan itu disebabkan pencapaian yang baik dan keaktifan pelajar kita memang sudah terbukti.  

Kita telah berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya sehingga ke peringkat kebangsaan. Semua ini hanya terhasil setelah usaha berterusan dijalankan selama beberapa tahun belakangan ini dan hasilnya dapat dituai sekarang. Saya juga melihat bahawa penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan masalah sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan dapat membentuk disiplin anak-anak. Bagi memastikan semua pelajar berpeluang mendapat pelajaran dan dapat bergiat dengan aktif dalam kokurikulum, kemudahan yang ada belum mencukupi. Pihak PIBG telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah, tetapi kewangan kita tidak memadai kerana kos dan perbelanjaan semakin meningkat. Sedangkan perjalanan kita masih jauh dan kita tidak mahu usaha selama ini menjadi sia-sia dan tersekat di pertengahan jalan. Kita sedang berada di landasan yang betul untuk melahirkan anak-anak Jelai yang berjaya. Saya mewakili pihak PIBG mengharapkan sokongan kewangan dan moral daripada semua pihak, terutamanya daripada YB Dato’ dalam hal ini. Sokongan ibu bapa kepada saya selaku Yang Dipertua PIBG dan jawatankuasa PIBG juga amat saya harapkan kerana setiap antara kita boleh menyumbang demi kemajuan anak-anak kita . 

Saya percaya di bawah kepimpinan dan keprihatinan YB. Dato’, kita boleh mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua aspek. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada YB. Dato’ yang sudi bersama-sama dengan kita pada petang ini. Saya menyusun jari memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Apa yang saya perkatakan datangnya dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan anak-anak kita jua.  

Sekian.Wabillahi taufiq wal hidayah asm. Wrbh. Terima kasih.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 45 other followers