Contoh Ucapan YDP PIBG

Yang berusaha pengacara majlis,
Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, merangkap Ahli Parlimen Tampin;
Yang Berhormat Dato’ Ir. Jamlus bin Hj. Aziz,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Sembilan
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas,
Yang Berusaha Puan Rohanah bt. Baharom,
Pegawai Pelajaran Daerah Tampin Rembau;
Yang Berusaha Encik Anirwan bin Fauzee, Penolong Pegawai Daerah Tampin mewakili Pegawai Daerah Tampin,
Yang Berusaha Encik Sabudin bin Hj. Sani, Pengetua SMK Jelai (F);
Y
ang Berusaha Tuan Penghulu Mukim, Pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah,  Pengurus-Pengurus Gugusan Felda Jelai, Ketua-ketua kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat dan persatuan belia, AJK PIBG, guru-guru, ibu bapa dan tuan puan yang dihormati sekalian. 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. 
Saya melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah kerana kita dapat bersama-sama dalam majlis penutupan Kejohanan Olahraga SMK Jelai (F) kali ke-17 pada hari ini yang berlangsung dengan meriah. Saya amat mengalu-alukan Yang Berhormat Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini. Di sebalik kesibukan tugas, YB. Dato’dapat juga mencuri masa untuk hadir. Kami rasa berbesar hati dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan dan prihatin YB Dato’ terhadap kami. 

            Bagi pihak PIBG sekolah, saya yakin dengan kehadiran YB. Dato’, akan dapat menyemarakkan lagi semangat ibu bapa dan masyarakat Gugusan Jelai untuk melibatkan diri dengan aktif dalam program pendidikan. Kita sedar bahawa dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke masa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Saya teringat impian Perdana Menteri kita, YAB. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi yang mengharapkan kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai minda kelas pertama di sebalik kemudahan kelas pertama. Apatah lagi, tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah. Anak-anak kita pula hidup dalam zaman yang semakin mencabar kerana masalah sosial dan ekonomi kian bertambah.  

            Ini bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan ke kolej atau universiti. Dengan adanya dasar baru kerajaan, anak-anak di Jelai ini boleh merebut peluang. Hal ini kerana markah sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek kokurikulum. Anak-anak yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan kelebihan itu disebabkan pencapaian yang baik dan keaktifan pelajar kita memang sudah terbukti.  

Kita telah berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya sehingga ke peringkat kebangsaan. Semua ini hanya terhasil setelah usaha berterusan dijalankan selama beberapa tahun belakangan ini dan hasilnya dapat dituai sekarang. Saya juga melihat bahawa penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan masalah sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan dapat membentuk disiplin anak-anak. Bagi memastikan semua pelajar berpeluang mendapat pelajaran dan dapat bergiat dengan aktif dalam kokurikulum, kemudahan yang ada belum mencukupi. Pihak PIBG telah banyak menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah, tetapi kewangan kita tidak memadai kerana kos dan perbelanjaan semakin meningkat. Sedangkan perjalanan kita masih jauh dan kita tidak mahu usaha selama ini menjadi sia-sia dan tersekat di pertengahan jalan. Kita sedang berada di landasan yang betul untuk melahirkan anak-anak Jelai yang berjaya. Saya mewakili pihak PIBG mengharapkan sokongan kewangan dan moral daripada semua pihak, terutamanya daripada YB Dato’ dalam hal ini. Sokongan ibu bapa kepada saya selaku Yang Dipertua PIBG dan jawatankuasa PIBG juga amat saya harapkan kerana setiap antara kita boleh menyumbang demi kemajuan anak-anak kita . 

Saya percaya di bawah kepimpinan dan keprihatinan YB. Dato’, kita boleh mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam semua aspek. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada YB. Dato’ yang sudi bersama-sama dengan kita pada petang ini. Saya menyusun jari memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap. Apa yang saya perkatakan datangnya dari hati saya yang ikhlas demi melihat kemajuan anak-anak kita jua.  

Sekian.Wabillahi taufiq wal hidayah asm. Wrbh. Terima kasih.

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

ruyung
Peribahasa ini jarang difahami kerana ramai yang tidak mengenal ruyung. Ada yang menyangka bekas isian air iaitu buyung.
Maksud peribahasa ialah jika kita berusaha bersungguh-sungguh, kita akan mendapat hasilnya. Bukan mudah mendapatkan sesuatu hasil. Lihat sahaja gambar ini yang menunjukkan pokok sagu yang dibelah dan ingin mendapatkan sagunya, ruyung iaitu kulit tebal pokok itu perlulah dipecahkan.

Perihal Imbuhan meN-

Dalam bahasa Melayu, antara imbuhan yang tinggi kekerapan penggunaannya ialah imbuhan kata kerja meN-.  Daripada kekerapan yang tinggi itu, banyak pula kesalahan penggunaannya dan kesalahan ejaan yang dapat ditemukan.Maksud N dalam awalan meN- itu ialah bentuk nasal yang menjadikan kelainan meN- seperti mem-, mem-, dan meng- bentuk nasal juga. Terjadinya demikian itu bergantung pula bunyi huruf pertama dalam kata dasar yang akan bergabung dengan meN-.  Jikalau kata dasar bermula dengan huruf d, iaitu  letupan gusi, maka nasal yang akan digunakan juga merupakan nasal gusi,  iaitu n, menjadikan awalan itu men-. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif sama ada kata kerja transitif atau tak transitif.

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi  Baharu, awalan meN- ini mempunyai empat bentuk kelainan, bergantung pada  bunyi huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya. Kelainan yang  dimaksudkan itu ialah me-, mem-, men-, dan menge-. Men- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan bunyi huruf m, n, ny, ng, r, l, w, dan y. Contohnya: memasang, menanti, menyanyi, menganga, meratakan, melempar, mewariskan, dan meyakinkan.  Kata dasar bahasa Melayu yang bermula dengan bunyi huruf, k, s, p, dan t  juga menerima awalan me- ini. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya , iaitu m bagi  p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut: mengasih (kasih), menyalin (salin), memesan (pesan), dan menari (tari),

Men- menjadi mem- pula apabila bergabung dengan perkataan yang bermula  dengan bunyi huruf b, dan perkataan serapan (pinjaman) yang bermula dengan  bunyi huruf f, p dan v, gugus konsonan yang bermula dengan bunyi b dan p.  Contohnya : membawa, membalas, membeli, dan lain-lain seumpamanya.     

Daripada kata bahasa serapan, seperti bahasa Inggeris, terbit bentuk  memveto (veto), mempopular (popular). Daripada bahasa Arab kita temukan  perkataan (fitnah), memfatwa (fatwa), dan daripada bahasa Jawa:  mempamerkan. Kemudian daripada gugus konsonan kita temukan pula  perkataan-perkataan seperti memproses (proses), memplagiat (plagiat),  memblok (blok), dan membrek (brek).MeN- menjadi meng-, dan bergabung dengan dasar yang bermula dengan  huruf-huruf konsonan g (menggulung), gh (mengghaibkan), kh  (mengkhayalkan), dan h (menghantar) dan bunyi-bunyi vokal a (mengambil),  (mengelak), i (mengikat). o (mengolah), dan u (mengulit).

Di samping meng-, terdapat juga bentuk menge-. Banyak juga orang keliru dengan bentuk menge- ini. Bila menge- ini digunakan? Sebenarnya, meng- menjadi menge- apabila awalan ini bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada perkataan satu suku kata atau ekasuku. Contohnya,  perkataan-perkataan cat, had, khas, lap, sah. Kesemua perkataan yang  tersenarai itu boleh bergabung dengan menge- membentuk kata terbitan  seperti mengecat, mengehad, mengekhas, mengelap, dan mengesah. Bentuk-bentuk mengecat, mengehad, dan lain-lain seumpamanya itu tidak  terdiri daripada kata dasar *ecat, *ehad, *ekhas, *elap dan *esah yang  telah menerima awalan meng-. Bunyi e pepet yang ditambahkan kepada awalan  meng- menjadi menge- berfungsi melembutkan sebutan perkataan-perkataan  tersebut. Cubalah amati sebutan bunyi antara *mebom / membom / menbom /  mengbom dengan mengebom, atau bunyi *mehad/ *memhad / *menhad / *menghad  dengan bunyi mengehad; ternyata sebutan bunyi mengebom dan mengehad lebihhalus daripada bunyi bentuk yang lain yang bersifat agak kasar atau  mengejut.

Demikianlah penjelasan tentang awalan meN- bahasa Melayu. 

Buah Manggis

Buah yang hebat mengandungi ubat 
Buah manggis memang manis. Di sebalik kulit yang hitam, isinya putih pula. Kajian menunjukkan manggis mempunyai nilai perubatan. Kandungannya boleh menjadi penawar kepada beberapa jenis penyakit dan meningkatkan sistem imuniti tubuh.

Dikirim dalam Info. Leave a Comment »

Contoh Karangan Ceramah : Isu Teknologi Maklumat

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.