Contoh Karangan : Kesihatan Asas Kebahagiaan

“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.

Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat. Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.

Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.

Contoh Karangan : Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.