Contoh Karangan : Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan  mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka  diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.    

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.  

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.  Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.

Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Contoh Karangan : Peranan Warga Tua

Di  Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran.  Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.  Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.  Ini merupakan satu tanggapan yang salah.  Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.  

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan.  Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.  Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini.  Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.  Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.  Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini?  Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.  Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini.  Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat.  Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.  Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.  

Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.  Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.  Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya.  Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.  Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 

Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.  Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari.  Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.  Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 

Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.  Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian.  Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan.  Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang.  Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  

Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi.  Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini.  Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara.  Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

Contoh Karangan : Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak

Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.

Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.

Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.

Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.

Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.

Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah.  Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.

Namun begitu,  gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga,  program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.

Memahami Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Ragam ayat dalam Bahasa Melayu, ialah ragam ayat aktif dan ragam ayat pasif. Dua perkara yang membezakan ayat aktif daripada ayat pasif ialah kedudukan subjek dalam ayat dan kata kerja yang digunakan.

Dalam ayat aktif, subjek menjadi judul ayat itu dan kata kerja yang digunakan ialah kata kerja aktif transitif yang berimbuhan meN-….  

Contoh ayat aktif:
a) Anak anjing Felix mengejar kucing jantan Maria.

 Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek (objek dijadikan judul) dan kata kerja pasif yang berimbuhan di-…, teR- … beR-…, ke-…-an atau mempunyai kata kena sebelum kata kerja. Kata kerja pasif (kata kerja dasar) tidak menerima sebarang imbuhan bagi kata pasif diri pertama dan diri kedua. 
Contoh ayat pasif:
a) Kucing jantan Maria dikejar oleh anak anjing Felix.
b) Anak anjing Marsha dikejar oleh kucing jantan Mawi.
c) Anak anjing Cheong terkejar oleh saya tadi.
d) Kucing jantan Ina terkejar adik saya.
e) Baju sekolah saya sudah berbasuh.
f) Baju itu belum bergosok.
g) Kami kehujanan semasa menjalani latihan bola sepak semalam.
h) Anak kucing jiran saya kelaparan kerana jiran saya sudah tiga hari pergi melancong.
i) Perompak yang merompak kedai emas itu sudah kena tangkap.
j) Beberapa ekor kera liar yang memasuki rumah saya sudah kena tembak.  KATA KERJA TRANSITIF TANPA IMBUHAN
Biasanya, semua kata kerja transitif aktif menerima awalan meN-… kecuali kata makan dan minum.
Contoh ayat daripada kata makan dan minum:
a) Pada ketika itu, kami sedang makan sate di sebuah gerai di Kajang.
b) Kanak-kanak itu sudah minum air mineral yang diberikan kepada mereka. KATA KERJA BERAWALAN MEN-… TANPA OBJEK (KATA KERJA TAK TRANSITIF) 

Kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif transitif yang mengutamakan subjek ayat sebagai judul. Objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif terdiri daripada kata nama, frasa nama, atau klausa komplemen.

Namun begitu, terdapat juga ayat transitif aktif yang tidak mempunyai objek kerana objek kata kerja transitif aktif dalam ayat itu digugurkan. Kekeliruan yang dihadapi oleh pengguna bahasa Melayu adalah untuk membezakan kata kerja transitif aktif daripada kata kerja tak transitif yang berawalan meN-….

Hal ini mudah difahami kerana ayat mempunyai kata kerja transitif aktif dapat dipasifkan, tetapi ayat yang mempunyai kata kerja tak transitif tidak dapat dipasifkan.  
Contoh kata kerja tak transitif yang berawalan meN-… dalam ayat: 
a) Syarini akan menjadi seorang pegawai tentera apabila ditauliahkan kelak.
b) Budak-budak itu berlari sambil menyanyi di padang sekolah.
c) Padi di sawah nenek sudah menguning.  Walaupun dikatakan semua kata kerja transitif aktif mesti menerima objek, terdapat banyak juga kata kerja transitif aktif yang tidak diikuti oleh objek kerana objek kata kerja transitif aktif itu digugurkan (berlaku proses pengguguran objek dalam ayat). Namun begitu, ayat berkenaan masih juga gramatis. Contoh ayat transitif aktif yang objeknya boleh digugurkan:
a) Bapa saya sedang mengarang di dalam biliknya. (objek yang digugurkan: buku, cerpen, novel, sajak, dan sebagainya)
b) Emak memasak di dapur. (objek yang digugurkan: gulai, dalca, nasi, dan sebagainya)
c) Adik sedang melukis. (objek yang digugurkan: gambar kucing, gambarajah, graf, dan sebagainya)
d) Saya telah memancing. (objek yang digugurkan: ikan di dalam kolam itu)
e) Mereka sudah makan pagi tadi. (objek yang digugurkan: nasi lemak, roti canai, dan sebagainya) Ayat aktif transitif di atas tidak dapat dipasifkan sekiranya objek selepas kata kerja transitif aktif tidak dinyatakan.
Hal ini demikian kerana dalam proses pemasifan ayat, objek dalam ayat aktif transitif perlu dijadikan subjek dalam ayat pasif. Oleh itu, sekiranya ayat-ayat di atas hendak dipasifkan, maka objek dalam ayat itu perlu dinyatakan dan tidak boleh digugurkan. 
Contoh ayat pasif daripada ayat aktif transitif di atas:
a) Buku (cerpen, novel, sajak, dan sebagainya) sedang dikarang oleh bapa saya di dalam biliknya.
b) Gulai (dalca, nasi, dan sebagainya) dimasak oleh emak di dapur.
c) Gambar kucing (gambar rajah, graf, dan sebagainya) sedang dilukis oleh adik.
d) Ikan di dalam kolam itu telah saya pancing.
e) Nasi lemak (roti canai, pisang, dan sebagainya) sudah dimakan oleh mereka pada pagi tadi.
Selain itu, terdapat kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif yang menerima awalan teR-…. Banyak pengguna bahasa Melayu kurang sedar bahawa terdapat sebilangan kata kerja yang menerima awalan teR-… terdiri daripada kata kerja transitif aktif kerana kata kerja itu mesti diikuti oleh objek dan kata kerja transitif aktif yang mengekalkan awalan teR-… apabila dipasifkan. Contoh ayat aktif transitif dengan kata kerja transitif aktif yang berawalan teR-.. :
a) Saya tersepak batu tajam itu ketika berlari di padang.
b) Dalam pertandingan itu, Badang terangkat balak yang berat.
c) Anak kecil saya termakan masakan yang pedas.
d) Adakah kamu terbaca buku yang tebal itu?
e) Ibu terhidang lauk yang basi kepada tetamu. Semua ayat di atas dapat dipasifkan apabila kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan teR-… itu dijadikan judul dalam ayat pasif. Walaupun bentuk kata
kerja transitif aktif itu tidak berubah dan dikekalkan, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan dalam ayat pasif dengan kata kerja transitif pasif berawalan teR-…. termasuk ayat pasif diri pertama dan ayat pasif diri kedua.Ayat pasif dengan kata kerja transitif pasif berawalan teR-… daripada bentuk ayat aktif transitif di atas ialah: 
a) Batu tajam itu tersepak oleh saya ketika berlari di padang.
b) Dalam pertandingan itu, balak yang berat terangkat oleh Badang.
c) Masakan yang pedas termakan oleh anak kecil saya.
d) Adakah buku yang tebal itu terbaca oleh kamu?
e) Lauk yang basi terhidang oleh ibu kepada tetamu. 
Selain itu, terdapat sebilangan kata kerja transitif aktif yang menerima apitan meN-…-kan dan meN-…-i mempunyai dua objek, iaitu objek tepat dan objek sipi.  Contoh ayat aktif transitif dengan dua objek:
a) Ketika di Madinah, saya membelikan Syarini sebentuk cincin.
b) Ibu sedang membacakan adik syair Burung Pingai.
c) Syamsyul mengirimi ibunya wang pada setiap bulan.
d) Hakim telah menjatuhi pengedar dadah itu hukuman gantung. Sekiranya ayat-ayat aktif transitif dengan dua objek di atas hendak dipasifkan, maka objek tepat hendaklah dijadikan subjek dalam ayat pasif. Hal ini dapat dilihat dalam ayat-ayat di bawah: 
a) Ketika di Madinah, Syarini saya belikan sebentuk cincin.
b) Adik sedang dibacakan syair Burung Pingai oleh ibu.
c) Ibunya dikirimi wang oleh Syamsyul pada setiap bulan.
d) Pengedar dadah itu telah dijatuhi hukuman gantung oleh hakim.

Contoh Menulis Idea Karangan – Langkah Mengawal Kedatangan Pendatang Asing

          Salah satu langkah utama menangani kedatangan pendatang asing ialah mengehadkan pergantungan kepada buruh asing. Bilangan mereka yang semakin besar kini menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan. Melalui kaedah baru pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan, kita berharap selepas ini pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini. Kita bukannya tidak mengenang jasa dan sumbangan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan serta beberapa sektor perkhidmatan yang lain. Sebaliknya, mereka juga harus memahami bahawa inilah strategi yang terpaksa dilaksanakan supaya selari dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dan mengawal kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah,  mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan. Malah melalui dasar kerajaan yang kini tidak membenarkan lagi anak-anak pekerja asing bersekolah di sekolah kerajaan mungkin dapat menyedarkan pendatang asing bahawa masa sudah tamat bagi mereka menikmati kemudahan yang sepatutnya untuk warganegara ini sahaja. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Tanggungjawab mereka adalah untuk mengingatkan para pekerja asing di bawah jagaan mereka tentang sistem budaya bermasyarakat dan mematuhi undang-undang negara ini kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Tips Menulis Gred A – Ungkapan Menarik

Kenapakah saya memaparkan perenggan-perenggan di bawah ? Sebabnya, salah satu kaedah penting bagi membaiki kualiti karangan ialah membaca esei yang baik,  dan seterusnya, mengutip ilmu penulisan iaitu kaedah penulis berbahasa dan mengolah ayat. Lihat dan tiru kaedah yang digunakan serta berlatih mengaplikasikannya.

Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.

KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.  

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an. 

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat. 

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti. 

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.  

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

 APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

Contoh Huraian Idea Karangan : Isu Popular – Dilema Ibu Bapa

        Satu dilema yang dihadapi oleh ibu bapa di Malaysia pada hari ini ialah  bagaimana cara untuk mengimbangi masa bekerja dengan masa untuk mendidik anak yang menjadi semakin sukar apabila majikan mereka menuntut supaya  mereka balik lambat untuk menghabiskan kerja. Apatah lagi, sebahagian kecil ibu bapa pula kurang pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak dan ini memerlukan penyelesaian. Kenyataannya ialah ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan tidak mempunyai masa untuk anak menyebabkan ribuan kanak-kanak di bandar ditinggalkan bersama pembantu rumah rakyat asing, pengasuh bayi dan sebahagian kecil dengan saudara mara. Mereka terdedah kepada pengaruh dan pemikiran penjaga mereka ini. Kanak-kanak yang pulang dari sekolah mendapati diri mereka di dalam rumah kosong kerana kedua-dua ibu bapa bekerja. Tiada siapapun di rumah untuk memberikan kasih sayang, membimbing dan menerapkan nilai kekeluargaan yang murni. Mereka sebaliknya mendapatkan tunjuk ajar dan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Dengan pengaruh yang tidak baik daripada rakan sebaya, wujudlah suasana yang akan membawa mereka kepada pelbagai penyakit dan masalah sosial. Kanak-kanak yang membesar di dalam suasana seperti itu akhirnya akan menjadi mangsa pelbagai masalah sosial seperti keganasan di sekolah, menagih dadah malah terbabit dengan jenayah.  Ibu bapa mesti bersedia meluangkan masa untuk bersama anak mereka. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang ibu bapa dan tanpanya kehidupan mereka akan musnah kerana mereka tidak memahami atau menghargai kasih sayang dan nilai kekeluargaan dalam kehidupan mereka kemudian nanti. Ibu bapa mestilah lebih peka terhadap kualiti ikatan kekeluargaan dan sentiasa mengambil langkah untuk menerapkan nilai asas moral kepada anak mereka yang diperlukan untuk membangunkan asas yang kuat kepada satu masyarakat yang stabil dan kukuh.   Jelasnya,  satu program perlu dijalankan bagi meningkatkan nilai moral dan  mengukuhkannya secara berterusan untuk menyedarkan anak akan tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara.  

Contoh Karangan Pendapat : Isu Dadah

          Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita  berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.  

Pada akhir tahun 1960-an, negara  kita   mulai  mengalami  masalah  dadah   Golongan remaja  dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika  yang  melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan  muda  yang  terlibat  dalam  penagihan  dadah merupakan  pemuda- pemudi  harapan  bangsa  dan  negara   dan  terjerumusnya  mereka  dalam alam khayalan ini mengakibatkan  mereka bukan sahaja tidak berguna kepada  masyarakat  bahkan diri  mereka sendiri. Memandangkan  hakikat inilah,  kerajaan  telah  mengambil  sikap tegas terhadap pengedaran  dadah,  dan  mengambil  langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang  amat  ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.  Oleh itu, kerajaan telah  melancarkan  kempen  antidadah  di  seluruh  negara  secara  meluas.  Namun demikian,  tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya  kita  pikul  bersama.

Tindakan   pencegahan   dadah   yang   berkesan memerlukan  penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih  bebas,  terdedah  kepada pengaruh asing dan mereka  lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang  tidak  sihat. Untuk  disanjung  oleh  kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan  menghisap  rokok  dan  dadah. Sekali  mereka   bermula,   maka   amat  sukar  bagi  mereka memberhentikan amalan buruk ini.   Masyarakat harus dididik  sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh.  Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam  hati  sanubari  mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita  harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk  mewujudkan  satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Sebahagian  besar penagih-penagih dadah  di  negara  kita  terdiri  daripada golongan remaja antara 15-29 tahun.  Antara  sebab-sebab utama  mereka  ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh  persekitaran  terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang  ibu  bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.    

Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional,  mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.  

Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia.  Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.