Mengubah Ayat Aktif menjadi Ayat Pasif Siri 1

Sering kali, pelajar melakukan kesilapan apabila menukar ayat aktif transitif kepada ayat pasif apabila melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua.

Antara ganti nama diri pertama ialah saya, hamba, aku, kami dan kita manakala ganti nama diri kedua ialah awak, engkau, kamu, anda, dan tuan.

Dalam ayat pasif melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua, perlu diingat bahawa:
1. Tidak boleh menggunakan kata “oleh”,
2. Kata bantu seperti akan, sedang dsb. mesti hadir sebelum ganti nama diri.
3. Ganti nama diri : contohnya, saya, anda mesti diikuti oleh kata kerja : contohnya, tulis, baca , sepak.
4. Kata kerja mestilah menjadi kata dasar seperti tulis bukannya menulis, baca bukannya membaca.

Contoh 1
Ayat Aktif Transitif : Saya akan menulis rencana tentang isu vandalisme.
Ayat Pasif : Rencana tentang isu vandalisme akan saya tulis.

Contoh 2
Ayat Aktif Transitif : Anda telah menutup botol itu.
Ayat Pasif : Botol itu telah anda tutup.

Cuba anda tukarkan ayat aktif transitif di bawah dan seterusnya betulkan contoh-contoh ayat pasif yang diberikan.

Sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan, awak telah memanggil Amran ke dalam kelas.

Amran telah dipanggil oleh awak ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana oleh diikuti oleh ganti nama diri pertama atau kedua).

Amran, awak telah panggil ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana ganti nama diri pertama/kedua mestilah diikuti oleh kata kerja).

Yang betul ialah :
Amran telah awak panggil
ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.

Advertisements

Perihal Imbuhan meN-

Dalam bahasa Melayu, antara imbuhan yang tinggi kekerapan penggunaannya ialah imbuhan kata kerja meN-.  Daripada kekerapan yang tinggi itu, banyak pula kesalahan penggunaannya dan kesalahan ejaan yang dapat ditemukan.Maksud N dalam awalan meN- itu ialah bentuk nasal yang menjadikan kelainan meN- seperti mem-, mem-, dan meng- bentuk nasal juga. Terjadinya demikian itu bergantung pula bunyi huruf pertama dalam kata dasar yang akan bergabung dengan meN-.  Jikalau kata dasar bermula dengan huruf d, iaitu  letupan gusi, maka nasal yang akan digunakan juga merupakan nasal gusi,  iaitu n, menjadikan awalan itu men-. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif sama ada kata kerja transitif atau tak transitif.

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi  Baharu, awalan meN- ini mempunyai empat bentuk kelainan, bergantung pada  bunyi huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya. Kelainan yang  dimaksudkan itu ialah me-, mem-, men-, dan menge-. Men- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan bunyi huruf m, n, ny, ng, r, l, w, dan y. Contohnya: memasang, menanti, menyanyi, menganga, meratakan, melempar, mewariskan, dan meyakinkan.  Kata dasar bahasa Melayu yang bermula dengan bunyi huruf, k, s, p, dan t  juga menerima awalan me- ini. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya , iaitu m bagi  p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut: mengasih (kasih), menyalin (salin), memesan (pesan), dan menari (tari),

Men- menjadi mem- pula apabila bergabung dengan perkataan yang bermula  dengan bunyi huruf b, dan perkataan serapan (pinjaman) yang bermula dengan  bunyi huruf f, p dan v, gugus konsonan yang bermula dengan bunyi b dan p.  Contohnya : membawa, membalas, membeli, dan lain-lain seumpamanya.     

Daripada kata bahasa serapan, seperti bahasa Inggeris, terbit bentuk  memveto (veto), mempopular (popular). Daripada bahasa Arab kita temukan  perkataan (fitnah), memfatwa (fatwa), dan daripada bahasa Jawa:  mempamerkan. Kemudian daripada gugus konsonan kita temukan pula  perkataan-perkataan seperti memproses (proses), memplagiat (plagiat),  memblok (blok), dan membrek (brek).MeN- menjadi meng-, dan bergabung dengan dasar yang bermula dengan  huruf-huruf konsonan g (menggulung), gh (mengghaibkan), kh  (mengkhayalkan), dan h (menghantar) dan bunyi-bunyi vokal a (mengambil),  (mengelak), i (mengikat). o (mengolah), dan u (mengulit).

Di samping meng-, terdapat juga bentuk menge-. Banyak juga orang keliru dengan bentuk menge- ini. Bila menge- ini digunakan? Sebenarnya, meng- menjadi menge- apabila awalan ini bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada perkataan satu suku kata atau ekasuku. Contohnya,  perkataan-perkataan cat, had, khas, lap, sah. Kesemua perkataan yang  tersenarai itu boleh bergabung dengan menge- membentuk kata terbitan  seperti mengecat, mengehad, mengekhas, mengelap, dan mengesah. Bentuk-bentuk mengecat, mengehad, dan lain-lain seumpamanya itu tidak  terdiri daripada kata dasar *ecat, *ehad, *ekhas, *elap dan *esah yang  telah menerima awalan meng-. Bunyi e pepet yang ditambahkan kepada awalan  meng- menjadi menge- berfungsi melembutkan sebutan perkataan-perkataan  tersebut. Cubalah amati sebutan bunyi antara *mebom / membom / menbom /  mengbom dengan mengebom, atau bunyi *mehad/ *memhad / *menhad / *menghad  dengan bunyi mengehad; ternyata sebutan bunyi mengebom dan mengehad lebihhalus daripada bunyi bentuk yang lain yang bersifat agak kasar atau  mengejut.

Demikianlah penjelasan tentang awalan meN- bahasa Melayu.