Tumbuhan Berguna 1

Negara kita sememangnya kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat tersendiri . Masyarakat zaman dahulu sangat bergantung dan percaya kepada jenis tumbuhan tertentu yang diakui memberi manfaat kepada pengguna. Ini menyebabkan, masyarakat dahulu amat menghargai tumbuh-tumbuhan tersebut. Cara mereka menghargai tumbuhan tersebut ialah dengan menggunakan tumbuhan tersebut sebagai bahan ubatan. Kepercayaan ini masih dipegang kuat kerana kemujarabannya dalam menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.Tumbuh-tumbuhan diperolehi daripada hutan dan ada juga yang ditanam sendiri. Pengaruh masa mungkin menjadi penyebab kepada meluasnya penggunaan pelbagai tumbuhan ini dalam bidang perubatan. Ini kerana pada masa dahulu, belum wujud lagi institusi perubatan . Oleh sebab itu, masyarakat peribumi menggunakan sumber alam di sekeliling mereka untuk mengubati penyakit yang menyerang di kalangan mereka. Bomoh, dukun dan pawang merupakan sumber rujukan utama mereka dalam bidang perubatan. Golongan ini dipandang tinggi kerana berkeupayaan untuk menyembuhkan pesakit yang datang meminta rawatan.Apatah lagi, ubat-ubatan yang digunakan ialah daripada sumber semulajadi. Ini menyebabkan, masyarakat dahulu sangat percaya kepada keupayaan tumbuh-tumbuhan ini untuk menyelesaikan masalah kesihatan di kalangan mereka. Tumbuh-tumbuhan yang berkenaan adalah seperti kunyit, halia, jering dan banyak lagi. Mungkin perkembangan saintifik dalam bidang perubatan pada zaman tersebut belum meluas tetapi mereka dapat menghasilkan cara rawatan yang berguna kepada masyarakat setempat. Keadaan ini bukan hanya berlaku di negara kita tetapi juga di seluruh dunia. Masing-masing mempunyai tumbuhan tertentu sebagai sumber ubatan.Dalam hal ini, sudah terbukti bahawa sememangnya tumbuhan banyak memberikan manfaat kepada manusia sejagat. Malahan, penggunaan tumbuhan ini dalam rawatan pada masa kini masih digunakan. Walaupun ia mendapat saingan daripada ubatan sintetik namun ianya masih lagi mendapat kepercayaan daripada orang ramai. Mungkin disebabkan oleh kesan sampingan yang wujud dalam ubatan sintetik. Kesan sampingan ini ada kalanya menimbulkan penyakit yang memudaratkan pengguna. Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa ragu-ragu untuk menggunakan ubatan moden. Namun, apa yang penting ialah keupayaan kedua-dua sumber rawatan untuk menangani penyakit yang mengganggu kehidupan masyarakat dunia.
SAYUR-SAYURAN MENTAH
Sayur-sayuran mentah atau ulam adalah antara menu makanan yang masih diamalkan dalam masyarakat melayu. Pelbagai jenis ulam seperti cekur, petai, jering, pucuk paku merah, kacang botol, daun pegaga dan ulam raja amat mudah diperolehi. Kebanyakan ulam ini ditanam terutama sekali penduduk kampung. Tidak kurang juga yang diperolehi daripada kawasan hutan yang mana ada di antara jenis ulam ini tumbuh meliar. Ulam mempunyai banyak khasiat yang sepatutnya diberi perhatian oleh orang ramai. Malah, kerajaan sendiri menggalakkan rakyat supaya mengamalkan memakan ulam. Tidak hairanlah, Kementerian Pertanian melancarkan kempen makan ulam beberapa lama dulu.Ulam-ulaman tempatan mengandungi khasiat yang tersendiri. Ulam daripada jenis berdaun mempunyai paling banyak vitamin A, B1, B2, C dan zat galian seperti zat besi dan zat kalsium. Ulam dari jenis biji-bijian seperti kacang botol, ia mempunyai kandungan protein yang tinggi. Pucuk paku merah atau pucuk niding dipercayai dapat menambahkan darah. Rasa pahit pada petai dan jering dapat mengubati penyakit kencing manis. Amalan memakan kulit petai dan isinya sekali gus adalah baik kepada penyakit kencing manis. Pegaga pula dipercayai berkhasiat untuk awet muda. Oleh sebab itu, dalam petua kecantikan, pegaga digalakkan sebagai makanan tambahan. Manakala, kunyit atau dikenali sebagai Curcuma domestica mengandungi antiseptik yang dapat digunakan untuk membasmi bakteria.Memakan sayur kubis sekurang-kurangnya seminggu sekali boleh mengelakkan seseorang daripada diserang barah sebanyak 66 peratus. Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar perubatan dari Jepun, yang telah menjalankan kajian dan mendapati kubis mengandungi ejen antikanser yang lebih daripada sayur-sayur lain. Di samping itu, kubis juga boleh membantu mencegah ulser perut, menambah sistem imunisasi dan turut mengandungi antibakteria. Kubis ini boleh dimakan dalam bentuk mentah, dimasak atau dibuat ulam khusus untuk kesihatan diri.
HALIA
Sebagai salah satu ubatan heba penting dalam perubatan cina dan tradisional melayu, halia amat dikenali sebagai penawar bagi masalah penghadaman. Halia berupaya meredakan sakit perut, melegakan perut akibat makanan tidak hadam malahan segala penyakit berkaitan dengan perut seperti angin dan kejang. Berdasarkan daripada satu kajian terbaru, halia didapati berkesan uantuk mencegah rasa loya dan menghindarkan sakit-sakit sewaktu dalam perjalanan jauh..Seperti yang dilaporkan dalam European Journal of Obsttetrics and Gynaecology hasil daripada penyelidikan terbaru menunjukkan halia boleh mengurangkan muntah-muntah waktu pagi. Manakala ahli penyelidik dari sebuah hospital di London mendapati, halia boleh mengelakkan tekak loya dan kesakitan selepas rawatan penyakit kanser. Halia membantu menghangatkan dan merehatkan otot-otot dalam badan. Ia berguna khususnya bagi mereka yang selalu menghidapi bengkak-bengkak, sejuk kaki dan tangan. Ia membuka sempadan saluran darah, membolehkan darah bergerak lebih bebas dan merendahkan kolestrol dalam darah.Selain daripada itu, halia dipercayai dapat membuang angin yang terdapat dalam usus besar dan usus kecil. Halia juga mempunyai khasiat untuk menghilangkan bau mulut yang kurang enak, melembutkan perut, membantu menghadamkan makanan dan membuang kahak dan lendir. Ia selamat, murah dan boleh digunakan dengan cara segar, kering atau didapati dalam bentuk kapsul di farmasi dan kedai ubat.
BAWANG PUTIH
Daya penyembuhan yang terkandung dalam bawang putih adalah suatu legenda. Sejak berkurun lamanya, ia telah digunakan oleh rakyat Mesir kuno, Bani Israel, tidak ketinggalan masyarakat di negara China. Di samping itu, keistimewaannya turut diakui oleh Charlemenge dan bapa kedoktoran, Hippocrates. Setelah begitu lama dibiarkan terpendam, keupayaan dan khasiat bawang putih kini cuba dibongkar oleh sains moden. Dalam jangka masa 20 tahun yang lalu, lebih kurang 1 300 kajian mengenai bawang putih telah dijalankan. Bawang putih atau dikenali juga dengan nama Allium sativum, berada di bawah famili allium sama dengan bawang besar, bawang merah, daun bawang dan kucai. Bawang putih juga dikenali sebagai stinking rose. Tetapi hakikatnya, ia boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Bermula dengan kanser dan penyakit jantung sehinggalah penyakit ulat air dan demam.Banyak kajian menunjukkan bawang putih boleh menurunkan paras kolestrol dalam darah. Ada dua pandangan yang menyatakannya berdasarkan kepada kajian yang dijalankan. Yang pertama, bawang putih boleh merendahkan paras kolestrol dalam darah antara 9 hingga 12 peratus bagi mereka yang mempunyai paras kolestrol yang tinggi. Manakala kajian terbaru pula mendapati bawang putih tidak meninggalkan kesan kepada mereka yang mempunyai paras kolestrol yang rendah dan sederhana. Penyelidikan dilakukan dengan menggunakan serbuk bawang putih yang menyamai penggunaan satu labu bawang putih sehari. Manakala satu lagi kajian menggunakan minyak bawang putih yang bersamaan dengan dua labu bawang putih mentah sehari.Pendapat kedua bagaimanapun, dibidas oleh Robert Nagourney, seorang doktor perubatan yang menyatakan bawang putih diproses berkemungkinan mempunyai bahan menurunkan kandungan kolestrol dalam darah. Bagaimanapun, fakta di mana bawang putih menghalang pengumpulan platlet dan pembekuan darah, yang mana ia mampu mengurangkan risiko berlakunya serangan jantung dan strok adalah benar.Terdapat sebuah pusat penyelidikan yang menjalankan kajian mencadangkan bahawa bawang putih dan semua yang terletak di bawah famili allium berkesan menghalang perkembangan kanser. Kajian di makmal berjaya membuktikan ia berupaya menghambat pertumbuhan sel malignan dan bahan berkarsinogen. Selain itu, bawang putih juga mengandungi bahan antioksidan yang sangat berkuasa. Penyelidikan terkini yang dijalankan mendapati kandungan fitokimia dalam bawang putih boleh menyekat pembentukan karsinogen yang kuat iaitu nitroamina dan menghalang pertumbuhan sel kanser.Bawang putih sebenarnya telah pun mempunyai sejarah yang cukup panjang digunakan sebagai bahan yang menghalang jangkitan kuman semasa peperangan. Malah ia juga khabarnya turut dikaji oleh Louis Pasteur dan Albert Schweitzer untuk merawat kes cirit-birit. Menurut Benjamin Lou, doktor perubatan di Universiti Linda Loma, bawang putih boleh menghalang pertumbuhan bakteria, fungi, virus dan parasit lebih berkesan daripada sesetengah antibiotik moden. Kajian di sebuah makmal di Hospital Boston City mendapati allicin berkesan menentang salmonell, streptococcus dan mikrob lain yang menyebabkan selesma dan pneumonia.
TOMATO
Tomato adalah buah yang kaya dengan lycopene dan baik untuk kesihatan. Lycopene adalah bahan kimia yang terdapat dalam tumbuhan (fitokimia) yang memberikan warna merah kepada tomato. Kandungan nutrien yang tinggi antaranya vitamin C, B-kompleks, mineral seperti zat besi dan potasium dan karotenoid yang terdiri dari lycopene dan beta karotena adalah ciri-ciri istimewa tomata. Lycopene adalah bahan antioksidan yang kuat di mana ia bertindak meneutralkan radikal bebas yang terhasil dalam tubuh badan. Kehadiran radikal bebas di samping tindak balas aktiviti metabolisme sel adalah berbahaya kerana ia menjadi punca kanser dan penyakit kardiovaskular.
TUMBUH-TUMBUHAN SEBAGAI AFRODISIAK
Dalam rawatan tradisional, masyarakat cina mempercayai dan mengamalkan penggunaan ginseng yang mana mampu mengatasi masalah ini. Ginseng merupakan rawatan herba cina yang paling berkesan. Namun terdapat beberapa ginseng yang dijual di kedai ubat yang mungkin mengelirukan pengguna. Oleh yang demikian, semasa memilih ginseng di kedai ubat cina, pastikan anda mendapat jenis China Wild Ginseng. Harga ginseng bergantung kepada saiznya. Bagi ginseng yang bersaiz kecil, ia berharga antara RM 300-RM 500 sebatang, manakala ginseng yang bersaiz besar biasanya berharga beberapa ribu ke atas. Fungsi ginseng bukan sahaja dapat menguatkan tubuh badan dan tenaga batin seseorang, tetapi ia dapat merangsang perubahan hormon dan melancarkan pengaliran darah. Perkara yang paling penting dalam menangani fenomena mati pucuk ialah memastikan organ-organ badan berada dalam keadaan yang sihat terutamanya ginjal. Ginjal yang menjadi punca kepada mati pucuk dan melalui China Wild Ginseng, organ tubuh badan terutamanya ginjal dapat dikuatkan. Ginseng perlu direbus selama tiga hingga empat jam sebelum ia dapat diminum. Biasanya, seseorang mengambil lebih kurang antara enam hingga tujuh batang ginseng. Tetapi, keberkesanannya bergantung kepada setakat mana tindak balas badan seseorang terhadap ginseng. Ginseng bukanlah sejenis ubat yang hanya perlu digunakan dalam satu atau dua kali. Sebaliknya, herba ini perlu diambil dari semasa ke semasa agar semua organ badan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan kuat Terdapat sesetengah orang yang mengambil selama setengah tahun, satu tahun ataupun yang serius terpaksa mengambil selama tiga tahun untuk pulih daripada mati pucuk.Herba Ba Ji dan Huo Yin Yang juga antara herba-herba yang dapat memulihkan sifat kelelakian. Herba-herba ini dicampur dengan Cordycens, Du Zhong dan direbus selama empat jam untuk mendapatkan sup yang penuh khasiat. Terdapat juga pil-pil yang dihasilkan dari campuran pelbagai herba cina yang telah diproses semula. Salah satu jenis ialah Jian Li Yao Zi Bian Wan yang dapat merangsang peredaran darah dan mengembalikan kecergasan tenaga. Kuasa ubat ini terus sampai ke buah pinggang dengan cepatnya. Pil ini juga dapat mengatasi masalah keletihan dan kelemahan tubuh. Bahan-bahan campuran pil ini terdiri daripada pelbagai jenis herba seperti phyryno, soma, cornota, gicro, rhdix morindae, herba cstanches, herba cynomori, herba epidemi dan herba-herba lain.Masyarakat melayu juga cukup terkenal dengan penggunaan sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan untuk merawat penyakit termasuk memulihkan tenaga batin lelaki dan perempuan. Di kawasan tropika, terdapat 150 000 spesies tumbuhan berbunga yang dipercayai mempunyai khasiat tersendiri dalam bidang perubatan tradisional. Berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat 6 000 spesies tumbuhan di kawasan tropika digunakan untuk tujuan perubatan sejak turun temurun. Daripada jumlah itu, 1 230 terdapat di Malaysia, bagaimanapun, 343 spesies telah diberitakan pupus. Jika kaedah perubatan moden boleh berbangga dengan Viagra dan pelbagai kaedah yang digunakan untuk merawat mati pucuk, maka perubatan tradisional juga mempunyai cara-cara tersendiri untuk mengubati lelaki yang mengalami masalah tenaga batin.Malah perubatan tradisional dari akar kayu dan sumber alam ini masih mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di negara ini. Masyarakat Melayu dahulu cukup terkenal dengan penggunaan ramuan-ramuan yang berasaskan sumber alam untuk tujuan perubatan pemulihan tenaga batin ataupun untuk mengekalkan keupayaan lelaki dan perempuan dalam hubungan kelamin. Antara ramuan yang digunakan untuk memulih dan menguatkan tenaga batin: Campuran halia, telur ayam kampung, limau nipis, kicap, madu lebah asli dan lada sulah. Ramuan Hempedu Harimau dan madu asli. Halia (diminum airnya) Pokok Rumput Jarum Mas/Rumput Rempah Padang. Rebusan Tongkat ali, ubi kemili dan ubi jagar Campuran susu, telur, madu dan halia. Ramuan sejenis tumbuhan herba, Tribulus terrestris L. Rebusan akar-akar kayu seperti tongkat ali, janggut ali, payung ali, cempaka, gucil, ubi jaga dan kunyit hitam. Selain itu, kunyit putih, butang baju, kacip fatimah, petawali, akar puteh, haji samad, akar resdung dan ubi kesul. Ramuan zakar buaya, buah pelir dan daging kambing, dan pasak bumi (Eurycoma longifolia). Makanan laut terutamanya udang merah dan tiram kerana kandungan fosforus, iodin dan zink yang tinggi.
KESIMPULANJadi, kita tidak dapat menolak atau menafikan kegunaan tumbuh-tumbuhan dalam kehidupan seharian kita. Ini merupakan warisan daripada nenek moyang sejak dari dulu lagi. Ada di antara tumbuhan yang digunakan pada masa dahulu masih kekal digunakan hingga ke hari ini. Dengan mengamalkan apa yang dilakukan oleh orang terdahulu, kita sudah pastinya akan merasai betapa tumbuh-tumbuhan ini patut dipelihara agar dapat menjadi sumber rujukan generasi baru.Sebenarnya, hasil perubatan dari tumbuh-tumbuhan amat bermakna dan memberikan sumbangan yang tidak terperi kepada dunia perubatan. Malah, daripada tumbuhan inilah menjadi sumber inspirasi kepada pakar perubatan pada masa sekarang untuk menghasilkan ubat moden yang sama berkesan seperti perubatan tradisional. Perubatan menggunakan tumbuhan amat penting sebagai alternatif kepada mereka yang lebih selesa dan percaya kepada cara perubatan ini. Apatah lagi, masih terdapat masyarakat primitif yang berpegang teguh kepada sumber ubatan daripada tumbuhan.Namun begitu, pengamalan menggunakan tumbuh-tumbuhan dalam diet pemakanan seharian tanpa menghiraukan protein daripada haiwan mempunyai kesan sampingan. Ini boleh menyebabkan sistem pertahanan badan tidak berupaya menghalang penyakit. Kenyataan ini dikeluarkan oleh American Academy of Cosmetics Surgeon. Ini adalah disebabkan, sayur-sayuran mengurangkan nutrien yang diperlukan untuk menghasilkan asid amino hidroksiprolina, bahan terpenting untuk menyembuhkan luka. Kehilangan nutrien juga disebabkan oleh glukosa dalam karbohidrat, albumin dalam protein, asid lemak, sesetengah jenis vitamin dan mineral seperti zink, mangan dan besi. Jadi, amat penting sekali mengamalkan pemakanan yang seimbang agar dapat menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan diri.

Dikirim dalam Info. 1 Comment »

Satu Respons to “Tumbuhan Berguna 1”

  1. AN NUR Says:

    SAYA MAHU BERTANYA: APAKAH NAMA HAIWAN-HAIWAN YANG TELAH PUPUS?


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: