Memahami Ayat Aktif dan Ayat Pasif

Ragam ayat dalam Bahasa Melayu, ialah ragam ayat aktif dan ragam ayat pasif. Dua perkara yang membezakan ayat aktif daripada ayat pasif ialah kedudukan subjek dalam ayat dan kata kerja yang digunakan.

Dalam ayat aktif, subjek menjadi judul ayat itu dan kata kerja yang digunakan ialah kata kerja aktif transitif yang berimbuhan meN-….  

Contoh ayat aktif:
a) Anak anjing Felix mengejar kucing jantan Maria.

 Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek (objek dijadikan judul) dan kata kerja pasif yang berimbuhan di-…, teR- … beR-…, ke-…-an atau mempunyai kata kena sebelum kata kerja. Kata kerja pasif (kata kerja dasar) tidak menerima sebarang imbuhan bagi kata pasif diri pertama dan diri kedua. 
Contoh ayat pasif:
a) Kucing jantan Maria dikejar oleh anak anjing Felix.
b) Anak anjing Marsha dikejar oleh kucing jantan Mawi.
c) Anak anjing Cheong terkejar oleh saya tadi.
d) Kucing jantan Ina terkejar adik saya.
e) Baju sekolah saya sudah berbasuh.
f) Baju itu belum bergosok.
g) Kami kehujanan semasa menjalani latihan bola sepak semalam.
h) Anak kucing jiran saya kelaparan kerana jiran saya sudah tiga hari pergi melancong.
i) Perompak yang merompak kedai emas itu sudah kena tangkap.
j) Beberapa ekor kera liar yang memasuki rumah saya sudah kena tembak.  KATA KERJA TRANSITIF TANPA IMBUHAN
Biasanya, semua kata kerja transitif aktif menerima awalan meN-… kecuali kata makan dan minum.
Contoh ayat daripada kata makan dan minum:
a) Pada ketika itu, kami sedang makan sate di sebuah gerai di Kajang.
b) Kanak-kanak itu sudah minum air mineral yang diberikan kepada mereka. KATA KERJA BERAWALAN MEN-… TANPA OBJEK (KATA KERJA TAK TRANSITIF) 

Kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif transitif yang mengutamakan subjek ayat sebagai judul. Objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif terdiri daripada kata nama, frasa nama, atau klausa komplemen.

Namun begitu, terdapat juga ayat transitif aktif yang tidak mempunyai objek kerana objek kata kerja transitif aktif dalam ayat itu digugurkan. Kekeliruan yang dihadapi oleh pengguna bahasa Melayu adalah untuk membezakan kata kerja transitif aktif daripada kata kerja tak transitif yang berawalan meN-….

Hal ini mudah difahami kerana ayat mempunyai kata kerja transitif aktif dapat dipasifkan, tetapi ayat yang mempunyai kata kerja tak transitif tidak dapat dipasifkan.  
Contoh kata kerja tak transitif yang berawalan meN-… dalam ayat: 
a) Syarini akan menjadi seorang pegawai tentera apabila ditauliahkan kelak.
b) Budak-budak itu berlari sambil menyanyi di padang sekolah.
c) Padi di sawah nenek sudah menguning.  Walaupun dikatakan semua kata kerja transitif aktif mesti menerima objek, terdapat banyak juga kata kerja transitif aktif yang tidak diikuti oleh objek kerana objek kata kerja transitif aktif itu digugurkan (berlaku proses pengguguran objek dalam ayat). Namun begitu, ayat berkenaan masih juga gramatis. Contoh ayat transitif aktif yang objeknya boleh digugurkan:
a) Bapa saya sedang mengarang di dalam biliknya. (objek yang digugurkan: buku, cerpen, novel, sajak, dan sebagainya)
b) Emak memasak di dapur. (objek yang digugurkan: gulai, dalca, nasi, dan sebagainya)
c) Adik sedang melukis. (objek yang digugurkan: gambar kucing, gambarajah, graf, dan sebagainya)
d) Saya telah memancing. (objek yang digugurkan: ikan di dalam kolam itu)
e) Mereka sudah makan pagi tadi. (objek yang digugurkan: nasi lemak, roti canai, dan sebagainya) Ayat aktif transitif di atas tidak dapat dipasifkan sekiranya objek selepas kata kerja transitif aktif tidak dinyatakan.
Hal ini demikian kerana dalam proses pemasifan ayat, objek dalam ayat aktif transitif perlu dijadikan subjek dalam ayat pasif. Oleh itu, sekiranya ayat-ayat di atas hendak dipasifkan, maka objek dalam ayat itu perlu dinyatakan dan tidak boleh digugurkan. 
Contoh ayat pasif daripada ayat aktif transitif di atas:
a) Buku (cerpen, novel, sajak, dan sebagainya) sedang dikarang oleh bapa saya di dalam biliknya.
b) Gulai (dalca, nasi, dan sebagainya) dimasak oleh emak di dapur.
c) Gambar kucing (gambar rajah, graf, dan sebagainya) sedang dilukis oleh adik.
d) Ikan di dalam kolam itu telah saya pancing.
e) Nasi lemak (roti canai, pisang, dan sebagainya) sudah dimakan oleh mereka pada pagi tadi.
Selain itu, terdapat kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif yang menerima awalan teR-…. Banyak pengguna bahasa Melayu kurang sedar bahawa terdapat sebilangan kata kerja yang menerima awalan teR-… terdiri daripada kata kerja transitif aktif kerana kata kerja itu mesti diikuti oleh objek dan kata kerja transitif aktif yang mengekalkan awalan teR-… apabila dipasifkan. Contoh ayat aktif transitif dengan kata kerja transitif aktif yang berawalan teR-.. :
a) Saya tersepak batu tajam itu ketika berlari di padang.
b) Dalam pertandingan itu, Badang terangkat balak yang berat.
c) Anak kecil saya termakan masakan yang pedas.
d) Adakah kamu terbaca buku yang tebal itu?
e) Ibu terhidang lauk yang basi kepada tetamu. Semua ayat di atas dapat dipasifkan apabila kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan teR-… itu dijadikan judul dalam ayat pasif. Walaupun bentuk kata
kerja transitif aktif itu tidak berubah dan dikekalkan, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan dalam ayat pasif dengan kata kerja transitif pasif berawalan teR-…. termasuk ayat pasif diri pertama dan ayat pasif diri kedua.Ayat pasif dengan kata kerja transitif pasif berawalan teR-… daripada bentuk ayat aktif transitif di atas ialah: 
a) Batu tajam itu tersepak oleh saya ketika berlari di padang.
b) Dalam pertandingan itu, balak yang berat terangkat oleh Badang.
c) Masakan yang pedas termakan oleh anak kecil saya.
d) Adakah buku yang tebal itu terbaca oleh kamu?
e) Lauk yang basi terhidang oleh ibu kepada tetamu. 
Selain itu, terdapat sebilangan kata kerja transitif aktif yang menerima apitan meN-…-kan dan meN-…-i mempunyai dua objek, iaitu objek tepat dan objek sipi.  Contoh ayat aktif transitif dengan dua objek:
a) Ketika di Madinah, saya membelikan Syarini sebentuk cincin.
b) Ibu sedang membacakan adik syair Burung Pingai.
c) Syamsyul mengirimi ibunya wang pada setiap bulan.
d) Hakim telah menjatuhi pengedar dadah itu hukuman gantung. Sekiranya ayat-ayat aktif transitif dengan dua objek di atas hendak dipasifkan, maka objek tepat hendaklah dijadikan subjek dalam ayat pasif. Hal ini dapat dilihat dalam ayat-ayat di bawah: 
a) Ketika di Madinah, Syarini saya belikan sebentuk cincin.
b) Adik sedang dibacakan syair Burung Pingai oleh ibu.
c) Ibunya dikirimi wang oleh Syamsyul pada setiap bulan.
d) Pengedar dadah itu telah dijatuhi hukuman gantung oleh hakim.

About these ads

4 Respons bagi “Memahami Ayat Aktif dan Ayat Pasif”

  1. suneesa Says:

    nota yang amat amat bagus

  2. suneesa Says:

    kita mesti dapat kirim ni ke mana mana kerana ia bagus

  3. leha Says:

    thank coz ade blog nie..senang jew nak pham..keterangan yang jelas..*_^

  4. nor suhada Says:

    nota ini amat sesuia dgn saya


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 46 other followers

%d bloggers like this: