Isu Sekolah Selamat

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan melancarkan Program Sekolah Selamat pada 2002 sebenarnya bertunjangkan satu matlamat jitu – mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat. Objektif umumnya ialah untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan di sekolah. Jelas inisiatif baru itu bukan sekadar program ‘tangkap muat’ semata-mata. Bahagian Sekolah menyediakan buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’ sebagai panduan pelaksanaan menjadikan sekolah, komuniti dan keluarga selamat untuk kanak-kanak.
Buku itu turut memuatkan aspek manual untuk pelajar menangani isu keselamatan dalam bidang aktiviti pelajar, bencana alam, fizikal dan bangunan sekolah, sosial, serta persekitaran dan lokasi sekolah. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Jabatan Sekolah), Datuk Kusaini Hasbullah, dalam satu pertemuan baru-baru ini, menjelaskan sebenarnya konsep sekolah selamat sudah pun ada dalam sistem pendidikan formal selama ini.
“Memanglah menjadi hasrat guru, ibu bapa dan pelajar supaya semua yang dilakukan tercapai dalam keadaan selamat. Sekiranya berjaya pun, berjaya dengan selamat. Itu adalah hasrat serta cita-cita kementerian juga. “Jadi konsep sekolah selamat ini daripada begitu umum, dibina dan dikembangkan menjadi satu konsep khusus yang dilaksanakan di sekolah seluruh negara. Malah, didapati kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan 10,000 sekolah rendah dan menengah kini menjalankan konsep ini secara aktif,” katanya.
Bagaimanapun, selepas lebih setahun pelaksanaan program itu, masyarakat masih digemparkan dengan insiden memalukan dan berlawanan arus dengan usaha bersungguh-sungguh banyak pihak untuk menjadikan negara pusat kecemerlangan pendidikan.
Beberapa kejadian ‘membelasah’ yang tercetus antara pelajar, khususnya di sekolah menengah berasrama, hingga mengakibatkan kecederaan serius ternyata bukan lagi boleh dipandang ringan sebagai sekadar ‘kenakalan budak hingusan’. Kecederaan menimpa Mohd Hafizi Jumhari, 16, pelajar kursus Kejuruteraan Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Ogos lalu, yang dilaporkan sehingga terpaksa dibuang buah pinggang kirinya selepas dipercayai dibelasah sekumpulan pelajar senior di asrama, boleh dijadikan pembuka mata terhadap ancaman luar jangkaan di sekolah.
Adakah dengan kes gejala disiplin sedemikian secara tidak langsung menunjukkan kegagalan Program Sekolah Selamat yang masih baru digerakkan? “Saya tidak fikir begitu sebab kita harus ingat kepada realiti masyarakat bahawa negara kita sedang menuju kemajuan serta pembangunan dan manusianya juga menjurus ke arah itu. “Jadi dalam proses kemajuan dan pembangunan ini, tentulah sekali kita akan menghadapi keadaan di mana ada sebilangan masyarakat yang terseleweng, luar fokus mahupun tidak memahami.
“Kita menghadapi gejala yang berlaku di sekolah tetapi ia bukan berpunca atau berkembang dari sekolah. Kita selalu kata sekolah dipersalahkan kerana timbulnya masalah. Namun sebenarnya daripada pemerhatian saya, sekolah hanyalah tempat perkara itu berlaku.
“Elemen dan proses pendidikan di kalangan anak kita bukan hanya di sekolah tetapi di merata tempat. Bahkan ada orang bijak pandai mengatakan bahawa pembelajaran secara formal hanya mencakupi lebih kurang 20 peratus hidupnya, sementara 80 peratus lagi dia belajar daripada cara tidak formal seperti di rumah, di kedai dan banyak lagi. “Bagaimanapun apabila berlaku masalah seperti dalam masyarakat hari ini, sekolah selalu disalahkan. Namun, kita tetap tidak boleh berhenti tanpa melakukan sebarang usaha untuk menangani dan mengatasinya. Antara usaha dijalankan ialah pelaksanaan konsep sekolah selamat ini,” tegas Kusaini.
Memang tidak dinafikan, pihak sekolah sering dilempar pelbagai tuduhan dan dipersalahkan apabila berlaku insiden negatif membabitkan salah laku pelajar. Antara dakwaan yang kerap dilontarkan ialah kelemahan pihak pengurusan, guru disiplin dan warden asrama di sekolah.
Suatu fenomena yang perlu dipandang serius dalam menangani kemelut disiplin pelajar kini ialah dalam keadaan tertentu, pihak sekolah, khususnya guru, berada dalam keadaan ibarat ’ditelan mati emak, diluah mati bapa’.
Ini kerana apabila guru bersikap lepas tangan terhadap salah laku pelajar, kewibawaan dan komitmen mereka sebagai pendidik pasti dipertikaikan. Begitupun dari satu sudut lagi, guru yang menjalankan hukuman disiplin pula terdedah kepada risiko ‘diserang balik’ ataupun diambil tindakan mahkamah oleh ibu bapa selain perbuatan balas dendam daripada pelajar sendiri.
Di sini, penekanan Kusaini bahawa keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan Program Sekolah Selamat memerlukan pembabitan serta kerjasama tiga pihak utama, iaitu warga sekolah, ibu bapa dan komuniti, wajar dijadikan pegangan. “Ketiga-tiga pihak ini harus bekerjasama dan juga memainkan peranan masing-masing dalam membina persekitaran yang selamat di sekolah. Apabila dikatakan selamat, bukan bermakna selamat dari segi prasarana atau fizikal saja, tetapi juga selamat dari segi lain seperti perhubungan dan kasih sayang.
“Keselamatan boleh dibina dengan keadaan kasih sayang, mesra dan kerjasama sesama warga. Dengan adanya semangat sebegitu, perhubungan menjadi lebih selamat serta mengurangkan permusuhan, perkauman dan juga prasangka.“Untuk selamat, bukan bermakna sesebuah sekolah itu mesti dipagar dengan pagar yang cantik semata-mata. Itu pun mustahak juga tetapi idea utamanya ialah supaya setiap warga di sekolah berasa aman, tenteram, selesa dan sentiasa mahu ke sekolah. Inilah persekitaran, budaya dan iklim di sekolah yang mahu ditonjolkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.
Justeru, walaupun belum tercapai sepenuhnya sasaran pelaksanaan Program Sekolah Selamat, usaha kementerian itu sudah pun mula menampakkan hasil positif apabila pemerhatian serta pemantauan dilakukan oleh Bahagian Sekolah mendapati kebanyakan sekolah berjaya mempertingkatkan kesedaran warga mereka mengenai kepentingan keselamatan.
Bukan itu saja, penubuhan Jawatankuasa Perundingan Disiplin Pelajar yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, adalah langkah amat dialu-alukan untuk menyuntik strategi baru ke arah mengurangkan sedapat mungkin pergolakan serta kemelut disiplin di kalangan pelajar. Pastinya, hasil positif sangat diharapkan daripada jawatankuasa itu yang menggemblengkan kebernasan fikiran daripada pelbagai pihak yang arif dalam bidang tersendiri, termasuk golongan profesional dan wakil ibu bapa.
Ekoran itu, baru-baru ini, jawatankuasa berkenaan melahirkan lima perakuan dan tujuh inisiatif baru yang sudah mendapat perkenan Menteri Pendidikan dan pelaksanaannya akan bermula tahun depan, di samping terus memberi penekanan kepada 20 inisiatif sedia ada. Menurut Kusaini, antara inisiatif baru berkenaan ialah melaksanakan piawaian kualiti asrama serta mengadakan sistem pengurusan asrama secara sistem rumah. “Berdasarkan sistem rumah ini, suatu asrama itu akan dikongsi duduki bersama oleh pelajar dari pelbagai tahun atau tingkatan persekolahan, contohnya dikongsi bersama oleh pelajar tingkatan satu, dua dan tiga, yakni tidak dikhususkan mengikut peringkat umur sebagaimana sekarang. “Langkah ini bertujuan untuk membentuk persefahaman sesama mereka sekali gus mewujudkan suasana perhubungan lebih baik kerana berdasarkan pengalaman kementerian, apabila pelajar dikumpulkan dalam satu peringkat umur saja di asrama, ada kecenderungan untuk ada ‘geng’ sendiri,” katanya.
Seterusnya, inisiatif baru berkenaan juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat dan pandangan melalui pelbagai saluran seperti badan pengawas mahupun badan perwakilan pelajar di sekolah. “Antara langkah yang sekolah boleh ambil ialah mengadakan dialog dengan pelajar supaya suara mereka didengar dan diteliti oleh pihak pengurusan. Ini bukan membabitkan aduan masalah saja tetapi juga cadangan ke arah penambahbaikan. “Berdasarkan pengalaman kita selama ini, pelajar memang berupaya memberikan cadangan baik kepada sekolah kerana merekalah yang menghadapi keadaan sebenar. Peluang pelajar berdialog dengan pihak sekolah adalah antara strategi kaunseling dalam perihal disiplin. “Bagaimanapun, pada masa sama, sekolah diminta bersikap tegas terhadap pelajar dan jangan bertolak ansur dalam perkara yang mungkar. Pihak sekolah tidak boleh mendiamkan perkara sedemikian, maknanya jika perlu dikenakan hukuman, hukum.
“Dalam konteks ini, bermakna mesti ada keseimbangan antara langkah kaunseling dan tindakan disiplin di mana yang menjadi ukuran kepada kedua-dua imbangan ini ialah kemanusiaan kerana pelajar sedang membesar serta membangun.“Ada persekitaran yang perlu diambil tindakan disiplin dan ada juga yang tidak perlu. Umpamanya, pelajar perempuan tidak memerlukan tindakan disiplin seperti merotan kerana dengan sifat mereka yang sensitif serta pemalu, teguran sudah pun mencukupi. Namun ada juga keadaan di mana pelajar perempuan tidak makan ditegur dan perlu diberi ‘kejutan’. Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada persekitaran dan keadaan,” katanya.
Satu lagi inisiatif baru yang cukup menarik ialah sekolah akan diberikan peruntukan mencukupi bagi pengurusan hal ehwal pelajar bertujuan mewujudkan kemesraan dan menjalin serta mengeratkan lagi perhubungan dengan pihak ibu bapa dan juga masyarakat. Strategi baru ini boleh dikatakan unik kerana melalui peruntukan yang diterima, pihak sekolah akan ‘keluar dari sarang’ untuk memperkukuhkan perhubungan dengan ibu bapa dan masyarakat seperti dengan mengadakan program lawatan ke rumah pelajar berbanding selama ini hanya ibu bapa yang dipanggil dan diminta ke sekolah.
Tidak dinafikan bahawa selama ini, ada sekolah yang ingin mengadakan program ‘mesra rakyat’ seperti itu tetapi menghadapi masalah kekangan kewangan berikutan tiada peruntukan khusus untuk pelaksanaan berkenaan. Justeru, dengan adanya peruntukan baru itu, pihak sekolah boleh mengaturkan program lawatan ke rumah pelajar untuk pelbagai tujuan seperti kebajikan, menziarahi mereka yang sakit dan sempena sambutan perayaan. Inisiatif seterusnya ialah penubuhan Biro Pelawat Sekolah yang akan dianggotai oleh pelbagai pihak, termasuk wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bekas pelajar dan agensi kerajaan setempat, untuk melawat pelajar secara berkala di sekolah sekali gus membentuk suasana perhubungan dan persefahaman yang jitu.
Penubuhan Jawatankuasa Menangani Isu Budaya Negatif Di Kalangan Pelajar Asrama yang dipengerusikan oleh Abdul Rafie dan pelaksanaan laporan adab pelajar turut disenaraikan sebagai antara tujuh inisiatif baru berkenaan.“Inisiatif ini bertujuan memperbaiki keadaan sekali gus mempertingkatkan disiplin pelajar. Pelaksanaannya tidak hanya fokus kepada sekolah yang didapati bermasalah tetapi meliputi secara menyeluruh,” katanya.

About these ads
Dikirim dalam Info. 1 Comment »

Satu Respons to “Isu Sekolah Selamat”

  1. cikgu_khairuddin Says:

    great topic but big issue.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 46 other followers

%d bloggers like this: